Tuesday, December 29, 2020

Pengalaman Sewa Tanah Untuk Kebun Kapas

Bertahun-tahun teragak-agak untuk sewa tanah bagi memulakan tanaman kapas dalam kebun yang lebih besar. Harapkan beli tanah, tak ada duit tunai sebanyak tu. Yelah, harga tanah pun bukan murah sekarang ni. Dah beberapa lokasi tanah saya lawat tapi masih menangguhkan hasrat tu kerana tidak yakin dengan kemampuan. Disebabkan cabaran dalam perniagaan sedia ada semasa pandemik Covid-19 pada tahun yang suram 2020 ni, saya nekad sewa sebidang tanah pertanian dengan keluasan lebih kurang 1.3 ekar. Tak besar mana pun tanah untuk dijadikan kebun kapas ni, bagi saya sudah cukup kerana masih dalam peringkat belajar bercucuk tanam dan memahami kerenah pokok-pokok dan bidang pertanian ni.

Setelah selesai urusan penyewaan, saya mula mencari benih kapas secara online. Ramai yang jualnya secara online. Dulu saya dapatkan biji benih daripada penjual tempatan dalam Shopee dan Lazada dan saya tidak tahu nama saintifik dan nama panggilan kapas yang sudah saya tanam. Jadi, saya cuba dapatkan benih kapas daripada laman sesawang daripada luar Malaysia iaitu US. Setelah saya buat bayaran, baru saya perasan yang saya terlupa buat bayaran untuk kos penghantaran. Bila ditanya pada penjual itu, dia pula yang tanya saya perlukan Phytosanitary Certificate atau tidak untuk urusan Kastam nanti. Terus saya bagitahu dia untuk tanya jabatan berkaitan terlebih dahulu tentang pengimportan tumbuhan dan bahagian-bahagian tumbuhan. Saya hubungi jabatan pertanian, dia suruh saya hubungi Jabatan Kuarantin di Wisma Tani. Rupa-rupanya untuk mengimport apa-apa tumbuhan, biji benih, keratan atau apa-apa sahaja berkaitan tanaman perlukan permit import daripada MAQIS. Disebabkan kapas adalah komoditi baharu jadi saya perlu dapatkan Phytosanitary Certificate dan Permit Import sebelum membawa masuk ke dalam Malaysia. Ingatkan nak bawa masuk tanaman tidak ada apa-apa dokumen yang diperlukan. Nasib baik belum import, kalau tidak sudah jadi penyeludup saya ni.. Cuma yang saya khuatir, kalau benih kapas adalah komoditi baharu, macam mana orang-orang tempatan ada tanaman berkenaan. Saya ada baca tentang cerita pengalaman tanam kapas dalam blog-blog tempatan. Atau memang pokok kapas sedia ada di Malaysia cuma tidak popular? Atau maksud komoditi baharu oleh MAQIS tu adalah komoditi baharu yang akan diimport?

Banyak sangat urusan dan kos yang saya perlu untuk dapatkan permit import kerana nilai matawang US yang lebih tinggi, jadi saya batalkan hasrat untuk mengimport benih kapas. Tanam dengan apa yang ada sahaja lebih senang. Tidak perlu pening-pening kepala sangat. Saya mulakan tanaman kapas ni dengan menyemainya di rumah kemudian pindahkan anak pokok ke dalam polibeg. Selepas anak pokok sudah mempunyai 4 daun, saya pindahkan anak pokok ke tanah. Satu masalah besar yang saya hadapi ialah masalah air. Masa nampak iklan sewa tanah ni dulu, agen tu tulis dalam Mudah.my kata elektrik dan air kongsi dengan penyewa kedai makan sebab dua-dua tuan tanah yang sama. Bila saya berjumpa tuan tanah, dia tak galakkan saya kongsi bekalan air, dan dia cadangkan saya masukkan satu meter air baharu. Itu untuk elakkan masalah berbangkit tentang bil air depan hari. Jadi saya bertanyakan pada SAINS dan dia sarankan saya lantik kontraktor untuk pasang meter pada kos lebih RM 2000 bergantung pada kontraktor. Harga itu termasuk deposit air katanya. Yang mahal tu kerana tanah tu dah dikira tanah kebun / komersil bukan untuk kegunaan domestik macam rumah. Pening kepala juga. Kos terlalu besar untuk memulakan pertanian di tanah itu. Yelah, upah tolak tanah RM 450, gembur RM 450 dan rotor RM 450 dah jumlahnya RM 1350. Deposit sewa sudah RM 2160. Belum kira sewa bulan-bulan, kos biji benih, tanah, baja, minyak kereta ulang alik Kajang-Lenggeng lagi.. Hampir putus asa dengan baby pun baru umur 6 bulan, masih belum pandai duduk lagi kena dukung jelah buat kerja.


Keadaan tanah sebelum cuci.. Belakang ada banyak pokok liar dengan ketinggian lebih 6 kaki..


Selepas gembur..

Selepas kisar tanah..

    Untuk selamatkan pokok kapas yang saya dah tanam ke tanah, saya isikan air dalam botol sabun dari rumah penuh bonet tiap kali ke sana dan saya cucukkan penitis untuk titiskan air kepada pokok secara berterusan. Jujur saya cakap, penat giler angkut air dari rumah macam kerja tak masuk akal pun ada angkut air untuk tanah seluas tu. Nak dijadikan cerita, penyewa kedai makan/karaoke tu rupa-rupanya ada masalah dengan tuan tanah, bila saya menyewa di situ disangkanya saya mencuri air untuk tanam pokok. Barangkali dia nampak saya letakkan anak pokok di lantai simen berdekatan kedai dia. Saya ingatkan lantai tu tuan tanah punya rupanya penyewa sebelum ni yang bina. Saya sendiri pun tak pernah perasan ada paip di situ sebab paipnya rendah sangat sampai lah adik saya bagi tahu ada paip di situ nanti bincanglah dengan penyewa kedai makan kongsi air. Buruk nama disangka pencuri air pula. Mungkin anak-anak ada buka paip air dia pun saya tak tahu. Saya tegur suami yang dah 2 kali kecemasan perlu gunakan tandas, dia guna tandas orang tu yang orang ingat curi air. Saya nak ke tandas pun saya ke stesen minyak. Pernah juga nampak tuan tanah guna tandas mungkin sebab basah jadi dia buruk sangka saya curi air. Hujung bulan, bil air dia masih sama seperti bulan sebelumnya tapi saya dah berasa terkilan kerana disangka pencuri air.

    Jadinya, saya bincang dengan penyewa kedai makan untuk kongsi air. Yang buatkan saya tahu diaorang syak saya curi air tu sebab penyewa kedai makan tu bagitahu dia kunci meter air. Memang rasa tak sedap hati tapi nak buat macam mana, perangai dan fikiran orang ni bukan kita boleh kawal. Saya dah bagitahu dia kata saya akan bayar semua bil air termasuk bil dia jika dia bagi saya kongsi air. Dia kata dia akan bincang dengan penyewa karaoke pula sebab diaorang  kongsi juga. Penyewa Karaoke pula ajak saya jumpa dia untuk bincang pasal tu dan dia nak minta deposit yang tak akan dipulangkan sebanyak RM 200. Kalau deposit sepatutnya dipulangkan lah. Dah bagitahu nak bayar semua bil air tapi minta RM 200 lagi. Dia siap bagi tahu saya yang dia kunci meter air baru-baru ni kerana syak ada orang curi air dia. Bila dia dah jelaskan isu-isu yang sepatutnya tidak berkaitan dengan saya pun, disebabkan terdesak jadi saya setuju bayarkan tunggakan air dia RM 200 seperti yang diminta. Nak buat macam mana, harap esok-esok Tuhan permudahkan kerja dia tak jadi macam saya huru-hara dan berhabis pada benda yang tak sepatutnya. Rasa menyesal pun ada menyewa tanah yang bermasalah dengan manusia-manusia di atasnya. Benda sudah jadi, telan sajalah. Kalau tanya saya nak sambung atau tidak sewa tanah tu selepas 2 tahun nanti, saya akan katakan TIDAK!! Kalau masalah ni selesai mungkin lah kan.

    Selesai masalah air, saya teruskan dengan penanaman kapas, tapi saya bahagikan tanah tu kepada 2 bahagian untuk kurangkan risiko kerana masih tak tahu pasaran kapas macam mana nanti. Satu bahagian saya cadang untuk tanam sayur-sayuran. Saya mula dengan sayuran jagung tapi jagung tak sempat besar dah dimakan lembu. Pokok kapas pula habis patah dan mati dipijak-pijaknya. Penat kerja macam ni duit banyak habis tapi hasil satu pun tak ada. Nak upah orang buat pagar kosnya besar boleh cecah RM 10k dan yang paling penting, tanah tu saya hanya sewa, tak nak bazirkan duit untuk orang lain. Suami sanggup buatkan pagar, tapi buat sorang-sorang setiap hujung minggu memang makan masa. Dah hampir 3 bulan baru siap tutup bahagian yang lembu masuk sahaja tapi rasa macam dah cukup untuk sementara ni. Tu pun habis lebih RM 1k untuk kos simen, besi, dan kawat duri walaupun buat sendiri. Dah siap pagar, baru nampak ada pokok jagung yang hanya tinggi sekaki walaupun dah tanam 2 bulan lebih.. Ada tidak diusik lembu tetapi mati walhal dibaja dan hujan setiap hari. Masa tu saya fikir dah tak mahu buat dah tapi rasa masih terlalu awal nak putus asa. Saya teruskan juga sehingga hari ini dah 4 bulan menyewa di situ. Yang jelas nampak, tanah kat situ tak subur seperti yang disangka dan tanah tersangat kering dan keras walaupun dah di kisar sebelum ni.

No comments:

Post a Comment

Jagung Manis Tanah Sumpahan

Setelah empat bulan berhempas pulas usahakan tanah termasuk tiga bulan untuk tanaman jagung, akhirnya saya kecewa kerana sudah gagal untuk k...